Ads by Nuffnang

Friday, December 28, 2012

Santapan Minda: Bisnes Dunia: Harga getah dijangka naik tahun depan

Rangsangan monetari, fiskal lonjak penggunaan komoditi

Tokyo: Harga getah dijangka meneruskan aliran meningkat tahun depan susulan rangsangan monetari dan fiskal di negara pengguna terbesar seperti Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS). 
Langkah rangsangan itu mempercepatkan pemulihan global dan meningkatkan permintaan bahan mentah. 

Abe akan melakukan apa saja untuk menamatkan deflasi bagi tempoh berdekad yang dialami Jepun dan memulihkan pengembangan ekonomi," Takaki Shigemoto, Penganalisis JSC Corp

Niaga hadapan getah penghantaran Mac di Tokyo, yang menjadi penanda aras global, dijangka meningkat 14 peratus kepada ¥344 satu kilogram (RM12,181.3 satu tan), demikian menurut anggaran median oleh tujuh penganalisis menerusi tinjauan Bloomberg. 

Mereka pada September meramalkan dengan tepat bahawa harga akan meningkat kepada 300 yen menjelang akhir 2012.

Penanda aras itu semalam diatasi buat kali pertama sejak sejak Mei.

Langkah kecemasan 
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang mencatat kemenangan besar pada pilihan raya minggu lalu, mengarahkan menterinya untuk menyusun langkah kecemasan ekonomi awal bulan depan.

Arahannya mengenai pelonggaran monetari tidak terhad dan sasaran dua peratus inflasi menyebabkan yen jatuh ke paras terendah dalam tempoh 28 bulan berbanding dolar, membantu pengeksport seperti Toyota Motor Corp meningkatkan jualan di luar negara, membawa permintaan lebih kukuh bagi komoditi digunakan dalam tayar.

“Abe pasti akan melakukan apa saja untuk menamatkan deflasi bagi tempoh berdekad yang dialami Jepun dan memulihkan pengembangan ekonomi,” kata Penganalisis JSC Corp, Takaki Shigemoto, semalam.

“Pelabur menyandarkan harapan kepada tindakan beliau,” katanya.

Catat kenaikan 

Selepas mencatat kenaikan 47 peratus dari tahap terendah tahun ini iaitu ¥205.6 yang dicatatkan pada 14 Ogos, niaga hadapan adalah 15 peratus lebih tinggi bagi tahun ini pada ¥302.8 pada jam 12:05 di Tokyo, memantul semula daripada kejatuhan 36 peratus tahun lalu.

Harga itu masih 43 peratus di bawah rekod tertinggi ¥535.7 yang dicatat pada 18 Februari 2011.

Yen kini bersamaan 86.64 bagi setiap dolar, paling lemah sejak 3 Ogos 2010 dan diniagakan pada 86.41, meneruskan kerugian tahun ini kepada 12 peratus.

Mata wang Jepun lemah

Mata wang Jepun yang lebih lemah antara faktor yang menjadikan kontrak berasaskan yen murah bagi pemegang mata wang lain.

Pengeluaran getah dijangka merosot ekoran musim tengkujuh yang dijangka bermula pada Februari di Thailand, iaitu pengeluar dan pengeksport getah terbesar dunia, mengurangkan pengeluaran getah.

Pengeluaran di Indonesia, iaitu penanam getah kedua terbesar mungkin boleh jatuh buat kali pertama dalam tempoh empat tahun pada 2013 kerana negara itu mengehadkan pengeluaran dan penghantaran ekoran penyelarasan dengan pengeluar lain.

Pengeluaran dijangka boleh menurun 8.9 peratus kepada 2.77 juta tan daripada anggaran 3.04 juta tan tahun ini, menurut Menteri Pertanian Indonesia, Suswono. 

Itu akan menjadi kejatuhan pertama 2009, apabila pengeluaran jatuh 11 peratus kepada 2.44 juta tan, data dari Direktorat Am Tanaman Estet Indonesia menunjukkan.

Thailand, Indonesia dan Malaysia yang mewakili 67 peratus daripada bekalan getah global bersetuju pada Ogos lalu untuk memerangi harga yang rendah dengan mengehadkan penghantaran dan menebang pokok, untuk menghasilkan pengurangan bekalan sebanyak 450,000 tan. - Bloomberg

GTM




No comments:

Post a Comment